Abu Bakar Ibn Abi Maryam meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW telah bersabda "Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia. Maka simpanlah dinar dan dirham." Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal

Pages

Monday 10 October 2011

Melabur dalam saham tidak realistik -Dr Mahathir

Melabur dalam saham tidak realistik -Dr Mahathir


KUALA LUMPUR 4 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata adalah tidak realistik untuk melabur dalam pasaran saham dengan berharap harganya akan meningkat.
Malah, tindakan itu tidak menyumbang kepada ekonomi negara, kata beliau.
Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut ucapan beliau mengenai pelaburan saham yang tidak realistik pada majlis pelancaran Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2011 di sini hari ini.
Beliau menyifatkan pelaburan dalam pasaran saham semasa sebagai tidak realistik dan umpama memperjudikan nasib.
Katanya, pelaburan dalam saham-saham yang tidak menentu untung atau rugi tidak menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara.
Malah, katanya, pelaburan jenis itu hanya untuk mereka yang ingin wang melalui jualan singkat (short selling).
‘Saya fikir jika anda melabur dalam pasaran saham kerana saham sesebuah syarikat membuat untung dan anda menjangkakan mendapat keuntungan daripada dividen, itu adalah realistik.
”Tetapi apabila anda melabur dalam pasaran saham dengan berharap harga saham meningkat naik, ia tidak akan menyumbang terhadap ekonomi,” jelas beliau.
Beliau juga berkata, Eropah kini turut menyatakan mereka menentang penjualan singkat kerana ia bukan satu perniagaan yang menyumbang kepada ekonomi.
Ketika ditanya tentang pakatan rakyat yang mengumumkan belanjawannya sendiri hari ini, Mahathir menjawab, ia menyenangkan lagi kerja kerajaan.
”Senang… bila mereka mahu belanja duit yang kita tidak ada. kita tidak boleh kawal, kita pun senang belanja,” tambah beliau.
Sumber :Utusan Melayu
-Pada tahun lepas juga Dr M sudah pernah menyentuh tentang hal saham dan perbankan Islam
Kewangan Islam Boleh Punah
KUALA LUMPUR 26 Okt. 2010– Sektor kewangan Islam akan turut punah sebagaimana yang terjadi kepada sistem kewangan konvensional jika nilai etika, pemantauan kerajaan serta penumpuan terhadap membiayai perniagaan sebenar (real business) diabaikan.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, amalan dan produk-produk kewangan Islam juga perlu dipastikan benar-benar tulen dan tidak bercampur dengan perkara-perkara yang meragukan.
Tambah beliau, sistem kewangan Islam mula menjadi tumpuan apabila kemelesetan ekonomi global berlaku akibat kegagalan sistem kewangan konvensional.
“Sistem kewangan Islam mempunyai masa depan yang sangat cerah, tetapi kejayaannya tidak hanya bergantung kepada penghapusan riba sebaliknya lebih kepada nilai-nilai etika pengamalnya yang menolak untuk bertaruh dengan masa hadapan serta memanipulasi pasaran,” katanya.
Dr. Mahathir berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di Forum Kewangan Islam Global di sini hari ini.
Menurut beliau, walaupun sistem perbankan Islam yang juga merupakan satu sistem bukan berasaskan riba masih belum disalahgunakan, tetapi itu bukan jaminan bahawa ia adalah kebal dan kalis krisis.
Justeru, beliau mencadangkan undang- undang dan pengawasan sewajarnya dilaksanakan oleh pihak berkuasa sesuatu negara bagi memastikan sistem tersebut tidak disalahgunakan.
“Sistem perbankan Islam terus tumbuh kerana ramai orang Islam yang kaya-raya, dan ia akan menjadi satu alternatif terbaik kepada sistem perbankan sedia ada.
“Sudah terlalu lama orang Islam menerima perbankan konvensional kerana tiada pilihan ,” jelasnya.
Beliau turut menggalakkan lebih ramai Muslim terutama yang kaya untuk melabur di dalam sistem kewangan Islam berbanding sistem kewangan berasaskan riba bagi memastikan ia terus berkembang dan menjadi pilihan termasuk orang bukan Islam.
“Melabur di dalam bank sama seperti memberi pinjaman kewangan, apabila wang telah diserahkan, seseorang itu tidak lagi mempunyai kawalan ke atas wangnya.
“Kita tidak tahu apa yang dilakukan oleh bank terhadap wang dan faedah yang dikenakan, ia mungkin digunakan untuk membiayai peperangan atau memusnahkan negara-negara Islam, ” ujar beliau lagi.
Walaupun tidak mengenakan sebarang kadar faedah, tidak semestinya sistem kewangan Islam adalah satu sistem yang tidak menguntungkan.
Jelas bekas perdana menteri yang juga bekas menteri kewangan, keuntungan yang dijana oleh sistem kewangan Islam haruslah dipastikan sumbernya dan tidak ‘mencekik darah’ sebagaimana yang dilakukan oleh bank-bank konvensional.
Ia juga seharusnya hanya membiayai perniagaan yang halal dan tidak mempunyai unsur-unsur pertaruhan terhadap kemungkinan masa depan.
“Kita tahu pelaburan di pasaran saham boleh menjadi salah satu landasan untuk perjudian, ” katanya. – Oleh NORLAILI ABDUL RAHMAN , bisnes@utusan.com.my.